REFLEKSI : Ucapan Motivasi Daripada Mark Zuckerberg - Maju ke Hadapan dengan Suatu Tujuan yang Jelas

 Nurul Husna binti Fuad (A180190)

https://www.youtube.com/watch?v=xOZf52HHKWY&t=227s

Pengasas laman sosial popular dunia, Facebook iaitu Mark Zuckerberg dikenali sebagai seseorang yang gemar memberikan ucapan yang bermotivasi kepada semua orang. Oleh hal yang demikian, artikel ulasan pada kali ini akan membincangkan mengenai salah satu ucapan yang dibuat oleh beliau berkaitan “Maju ke Hadapan dengan Suatu Tujuan yang Jelas”.

Mark Zuckerberg dalam ucapannya mendefinisikan tujuan sebagai suatu perasaan di mana kita adalah sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada diri kita sendiri, perasaan di mana kita rasa diperlukan, dan di mana kita mempunyai sesuatu yang lebih baik di hadapan untuk diusahakan. Beliau juga merasakan bahawa tujuan adalah sesuatu yang dapat mencipta kebahagian. Walaubagaimanapun, beliau mengatakan bahawa mencari tujuan dalam hidup kita sendiri itu tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu berjaya. Bagi beliau, kita juga perlu untuk mewujudkan tujuan hidup dalam diri masyarakat yang lain di mana ini merupakan suatu cabaran yang sangat sukar bagi beliau. Hal ini kerana mencari makna dalam hidup ini memerlukan lebih daripada sekadar membantu diri sendiri dan kita perlu berusaha keras sehingga pada akhirnya semua usaha itu dapat menjadikan diri kita dan orang lain juga lebih baik dan lebih bahagia.



        Selain itu, Mark Zuckerberg juga menyatakan bahawa beliau merasakan terlalu ramai orang yang terputus hubungan dan berasa tertekan. Terdapat juga sesetengah orang yang sedang berusaha untuk mengisi kekosongan yang ada dalam diri mereka. Oleh kerana itu, beliau begitu teruja untuk melancarkan Facebook pada ketika itu kerana beliau ingin menghubungkan semua orang di Harvard dan beliau yakin bahawa suatu hari nanti akan ada seseorang yang mampu untuk menghubungkan semua orang di dunia. 

       Walaubagaimanapun, Mark Zuckerberg langsung tidak akan menyangka bahawa seseorang itu adalah mereka. Hal ini kerana terdapat pelbagai syarikat teknologi yang besar dan bagus di mana mereka mempunyai banyak sumber dan ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk menjadi salah satu syarikat yang dapat menyatukan semua orang di dunia. Oleh kerana itu, apabila Mark Zuckerberg mendapat peluang sebesar ini, beliau dan pasukannya terus maju ke hadapan dan memberikan usaha yang sepenuhnya setiap hari untuk mencapai tujuan dan idea yang sangat jelas bagi mereka iaitu menghubungkan semua orang.



        Harapan utama Mark Zuckerberg melancarkan Facebook bukanlah untuk mewujudkan sebuah syarikat tetapi beliau ingin mewujudkan kesan daripada pelancaran Facebook tersebut kepada orang ramai. Tetapi apabila semakin ramai yang menyertai beliau, ini menjadikan pengaruh beliau semakin besar sehingga memaksa mereka untuk lebih pantas bergerak ke hadapan walaupun mereka dikritik kerana akan ada seseorang yang ingin menjatuhkan mereka. Mark Zuckerberg menyatakan bahawa terdapat beberapa syarikat besar yang membuat tawaran untuk membeli mereka tetapi beliau menolak tawaran tersebut. Hal ini kerana beliau ingin melihat sekiranya mereka masih mampu untuk menghubungkan lebih ramai orang berbanding pencapaiannya pada ketika itu.



        Walaubagaimanapun, terdapat ramai orang yang menginginkan beliau untuk menjual apa yang beliau ada kerana mereka tidak mempunyai tujuan yang jelas dalam hidup mereka seperti yang beliau harapkan. Hal ini bahkan menyebabkan berlakunya suatu pertengkaran yang tegang sehingga seorang penasihat memaklumkan bahawa Mark Zuckerberg akan menyesali perbuatannya itu seumur hidup sekiranya tidak bersetuju untuk menjual syarikatnya. Kesan daripada masalah ini menyebabkan hubungan semua orang menjadi renggang sehinggakan dalam tempoh setahun dan lebih, terdapat beberapa orang dalam bahagian pengurusan yang meninggalkan syarikatnya. Perkara seperti ini boleh membawa kepada kemusnahan syarikat yang beliau bina.

       Tiada siapa sangka bahawa itu merupakan detik paling sukar bagi Mark Zuckerberg dalam mengendalikan Facebook. Beliau merasakan bahawa perbuatan beliau adalah tepat tetapi pada ketika itu beliau berasa keseorangan kerana tidak ramai yang mempercayai kredibiliti beliau untuk meneraju Facebook sehingga beliau merasakan bahawa segala kesalahan adalah berpunca daripada dirinya. Beliau juga merasakan bahawa beliau masih lagi tidak mengetahui bagaimana cara dunia bekerja. Setelah bertahun-tahun, barulah beliau faham bahawa begitulah cara seseorang bekerja sekiranya dia tidak mempunyai tujuan yang jelas dalam hidupnya.



Kesimpulannya, tujuan yang jelas dalam hidup merupakan salah satu elemen yang sangat penting dalam membina sebuah kejayaan. Walaubagaimanapun, tujuan tersebut perlulah juga diwujudkan dalam diri masyarakat yang lain supaya kejayaan itu dapat dicapai bersama-sama. Apabila tujuan hidup sudah jelas, kita perlulah berusaha sehingga maju ke hadapan untuk membina dan mengekalkan kejayaan tersebut.

Comments