Refleksi : Gaya Pemikiran Seperti Mark Zuckerberg

 Nurul Husna binti Fuad (A180190)

https://www.scb.co.th/en/personal-banking/stories/success-story/mark-zuckerberg.html

      Kemodenan dunia yang semakin pesat tidak menghalang Mark Zuckerberg untuk tetap utuh menjadi antara 10 usahawan terbaik di dunia. Hal ini menyebabkan ramai usahawan di luar sana yang ingin mengikuti jejak langkah beliau untuk berjaya dalam hidup. Justeru itu, artikel ulasan pada kali ini akan membincangkan tentang bagaimana gaya pemikiran Mark Zuckerberg dalam mengembangkan kerjaya beliau walaupun mempunyai banyak persaingan di seluruh dunia.

        Antara gaya pemikiran seperti Mark Zuckerberg yang boleh dicontohi oleh usahawan-usahawan yang lain ialah membiarkan minat yang ada dalam diri mereka untuk terus mendorong mereka sehingga berjaya. Minat yang mendalam untuk menghubungkan semua orang telah menyebabkan Mark Zuckerberg mempunyai hala tuju dalam kerjaya beliau. Hal ini telah mendorong beliau untuk melancarkan sebuah aplikasi iaitu Facebook di mana aplikasi ini mampu untuk menghubungkan semua orang di dunia sesuai dengan kehendak semua individu. Pemikiran seperti ini menunjukkan bahawa apabila kita mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu, kita akan berusaha bersungguh-sungguh dan tidak akan mudah mengalah untuk mendapatkannnya. Bak kata Mark Zuckerberg, “Done is better than perfect”.


       Selain itu, visi yang memberi inspirasi dapat menjadikan sesebuah syarikat itu berjaya. Mark Zuckerberg pernah menyatakan bahawa misi dan visi Facebook adalah untuk menjadikan dunia lebih terbuka dan berhubung. Oleh kerana itu, beliau selalu menolak tawaran sekiranya terdapat individu yang ingin membeli syarikatnya kerana beliau merasakan bahawa matlamat dan misinya masih belum tercapai. Melalui pemikiran seperti ini, kita dapat mengetahui bahawa dengan adanya misi,visi dan matlamat yang bagus dapat menjadikan kita lebih bersemangat untuk terus berusaha sehingga kita dapat mencapai misi yang telah kita tetapkan. Slogan daripada Facebook iaitu “hanya satu peratus sahaja perjalanan yang telah selesai” boleh diterapkan dalam hidup untuk kita lebih berusaha mencapai kejayaan. Kita juga boleh melihat syarikat kita lebih daripada sebuah perniagaan agar kita dapat lebih menghargai segala penat lelah yang diperlukan untuk membangunkan syarikat tersebut seterusnya meningkatkan peluang untuk berjaya dalam jangka masa yang lebih lama.



       Seterusnya, seorang usahawan perlulah bijak dalam memilih pekerja yang bermotivasi dan dapat memberikan sesuatu kepada syarikat. Pekerja yang menyukai pekerjaannya akan memberikan prestasi kerja yang terbaik sepanjang perkhidmatannya. Walaubagaimanapun, sebagai seorang ketua, kita perlulah menjaga kebajikan semua pekerja sebaik yang mungkin. Kita perlu memastikan bahawa pekerja-pekerja kita berada dalam keadaan yang selesa dan gembira sepanjang mereka berada di syarikat. Hal ini bertujuan untuk memastikan setiap pekerja dapat memberikan sepenuh usaha dalam mengembangkan prestasi syarikat. Mark Zuckerberg sangat mementingkan suasana yang kondusif di syarikatnya. Sebagai contoh, terdapat peralatan muzik dan pelbagai permainan disediakan di syarikatnya supaya pekerja-pekerjanya dapat merehatkan diri. Sekiranya kita memperlakukan pekerja kita dengan baik, maka mereka akan melayan pelanggan-pelanggan syarikat sebegitu juga.



       Di samping itu, gaya pemikiran Mark Zuckerberg yang sangat mementingkan kualiti produk haruslah dicontohi oleh semua usahawan yang ingin berjaya. Antara kunci kejayaan Facebook ialah beliau sentiasa memfokuskan produk-produk yang bagus dan mengambil segala ulasan dan pengalaman daripada pengguna. Beliau akan memastikan segala perubahan dibuat dengan teliti dan berhati-hati sekiranya berhadapan dengan permintaan yang baharu. Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan seorang yang berinovatif kerana mampu mencari cara untuk menjadikan produk beliau lebih baik seperti menambah beberapa ciri terbaharu dalam Facebook untuk menarik minat pengguna. Sekiranya kita menjaga kualiti produk kita, pengguna akan berpuas hati dan menjadi pelanggan yang tetap kepada produk kita. 



Akhir sekali, sebuah pasukan yang hebat di mana terdapat mereka yang mempunyai keupayaan dan pengalaman perlu dibentuk untuk mencapai kejayaan. Mark Zuckerberg dapat meraih kejayaan sehingga hari ini kerana beliau mempunyai pasukan yang sangat berkebolehan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Sebagai contoh, Sheryl Sanberg diberi jawatan sebagai ketua pegawai operasi di Facebook kerana beliau lebih berpengalaman dalam pembangunan perniagaan yang mana Mark Zuckerberg tidak begitu mahir. Hal ini membuatkan Mark Zuckerberg dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada pembinaan produk dan visi syarikat. Apabila wujudnya keseimbangan dalam pekerjaan, ini dapat meningkatkan peluang untuk meraih kejayaan  yang besar bagi sesebuah syarikat. Masalah dan peluang yang hadir juga dapat dilihat dan dikaji daripada pelbagai sudut yang berbeza apabila kita mempunyai pasukan yang mempunyai pelbagai pengetahuan dan kepakaran masing-masing.

Kesimpulannya, gaya pemikiran seseorang itu sangat penting dan menjadi salah satu faktor yang akan menentukan kejayaan dalam dirinya. Mereka yang menginginkan kejayaan perlulah mempunyai gaya pemikiran yang meluas dan terbuka agar kerjaya mereka dapat dikembangkan dan dikukuhkan. 

Comments

Popular Posts