REFLEKSI: SYARAT UNTUK BERJAYA MENURUT MARK ZUCKERBERG
Nur A'dlina Binti Zulkefli (A179966)
Ulasan
refleksi ini adalah berkaitan dengan syarat untuk berjaya menurut pandangan
Mark Zuckerberg. Untuk mencapai kejayaan yang diingini ia bukanlah suatu
perkara yang mudah. Kita perlu untuk mengorbankan sesuatu perkara malah perlu
untuk melakukan sesuatu di luar zon selesa kita. Begitulah juga yang dihadapi
oleh pengasas aplikasi Facebook, Mark Zuckerberg ini sehingga tersenarai antara
individu yang terkaya di dunia. Umum mengetahui bahawa kejayaan tidak akan
datang bergolek tanpa adanya usaha dari kita sendiri, maka disini akan
diulaskan beberapa syarat menurut pandangan Mark Zuckerberg untuk berjaya.
Syarat yang
pertama menurut Mark ialah mendapatkan maklum balas dari orang sekeliling. Bagi
Mark sendiri, walaupun beliau sudahpun digelar sebagai seorang yang telah
berjaya, namun beliau masih meminta pandangan dari orang sekeliling untuk
penambahbaikan terhadap aplikasi Facebook. Yang mana setiap minggu, syarikat
beliau akan mengadakan Q&A yang mana setiap pekerja boleh mengajukan
apa-apa bentuk persoalan tentang syarikat seperti apa yang pekerja itu mahu atau apakah hala tuju syarikat untuk bulan ini dan lain-lain. Hal ini adalah
kerana Mark dan pekerja-pekerjanya yakin dan percaya bahawa sifat keterbukaan
atau berkomunikasi pandangan masing-masing adalah penting kerana dari situ
mereka boleh belajar apa yang ada pada fikiran seseorang.
Melalui penghasilan maklum balas ini, kita dapat fahami bahawa setiap orang mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Masing-masing boleh menyatakan pendapat mereka dengan bebas untuk kepentingan semua. Malah melalui proses ini juga, sesebuah syarikat dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai keperluan masyarakat pada masa kini dek kerana keperluan masyarakat akan sentiasa berubah mengikut zaman. Dengan adanya sifat keterbukaan dari dua pihak ini, masing-masing dapat memperbaiki silap dan belajar untuk fikirkan apa yang ingin dicapai pada masa hadapan demi kepentingan bersama.
Syarat kedua
menurut Mark Zuckerberg untuk mencapai kejayaan ialah melakukan kesalahan. Beliau
mengatakan jangan takut untuk melakukan kesalahan dan jangan pernah cuba untuk
elak dari melakukan kesilapan yang tidak pernah lagi kita ketahui akan
akibatnya kerana dari situlah kita dapat belajar sesuatu yang baharu. Dan yang paling penting
ialah jangan pernah berputus asa dan cepat-cepat untuk memperbaiki kesilapan yang telah kita
lakukan. Mark Zuckerberg sendiri berhadapan dengan pelbagai rintangan sebelum menunjukkan
hasil kejayaan beliau saat ini namun beliau tetap fokus dan terus mencipta. Beliau
tambah lagi bahawa jika kita berhadapan dengan rintangan namun kita tidak
fokus untuk menyelesaikannya, maka kita akan kehilangan kesempatan, waktu dan juga penat-lelah yang
sudah dikorbankan sebelum ini.
Dari syarat
kedua ini kita dapat fahami bahawa kejayaan tidak senang-senang datang bergolek
tanpa kita mengusahakannya. Untuk mencapai matlamat yang diimpikan, kita
perlulah sentiasa bersemangat dan jangan mudah untuk berputus asa walaupun
terdapat pelbagai liku-liku yang perlu kita harungi untuk mencapai pelangi yang
kita impikan. Dan untuk mencapainya juga kita mestilah berani untuk mengambil
sebarang risiko yang mendatang kerana dari situlah kita akan dapat belajar dan
menambahkan asam garam dalam proses kita untuk mencapai matlamat. Yang paling
penting seperti yang dikatan oleh Mark Zuckerberg sendiri, “Kejayaan yang
terbaik akan datang ketika kita memiliki kebebasan untuk gagal”.
Syarat yang
terakhir untuk berjaya menurut pandangan pengasas aplikasi Facebook ini ialah melakukan
sesuatu yang boleh mendatangkan perubahan kepada dunia. Seperti tadi, untuk
melakukan perubahan terutamanya perubahan yang besar kepada dunia bukanlah
suatu perkara yang sangat mudah dan boleh diambil remeh. Ia memerlukan pelbagai pengorbanan dan juga tidak
mudah atau jangan pernah berputus asa serta kita haruslah mengetahui dengan benar jenis atau
perkara apa yang kita inginkan untuk melakukan perubahan. Hal ini adalah
kerana, apabila kita sudah jelas dengan matlamat kita, apa-apa rintangan yang
mendatang, kita tidak mudah menyerah dan berhenti separuh jalan kerana yakin
akan perubahan yang ingin kita lakukan itu. Malah yang paling penting, di
hujung pencapaian nanti kita yakin bahawa akan tersedianya pelbagai kemudahan untuk
masyarakat dan yakin bahawa terdapat ramai yang akan bantu kita untuk mencapai matlamat anda demi kepentingan dan kebahagiaan bersama.
Kesimpulannya,
sesuatu kejayaan bukanlah akan datang dengan sendiri atau datang dengan hasil diri kita sahaja yang mencapainya, namun ia memerlukan tunjang belakang yang kuat
seperti keluarga, rakan-rakan malah sesebuah masyarakat kerana apabila kita
hanya menyandarkan beban yang pelbagai pada diri kita sendiri, percayalah, kita
akan mudah jatuh kerana tiada kejelasan matlamat itu untuk dicapai.
Comments
Post a Comment