Refleksi : Sikap Mark Zuckerberg Yang Boleh Dicontohi
Badrul Alif Naqiuddin Bin Badrulzaman (A180042)
Sumber : https://www.liputan6.com/bisnis/read/3344840/7-rahasia-sukses-mark-zuckerberg-yang-wajib-kamu-tiru
Dalam kejayaan seseorang individu pasti terdapat perkara yang kita boleh contohi daripada mereka yang boleh kita aplikasikan dalam kehidupan seharian supaya kehidupan ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan perkara-perkara yang positif. Mari kita perhalusi satu persatu tentang corak pemikiran atau sikap seorang individu yang telah mengubah cara komunikasi kita pada hari ini sehingga kita mampu untuk berhubung bersama kenalan dan ahli keluarga dengan lebih mudah iaitu pengasas kepada Facebook dan Ketua Pegawai Eksekutif kepada Meta Platform Inc. Mark Zuckerberg.
Sikap pertama yang boleh dicontohi adalah amalan membaca buku, Mark Zuckerberg akan memastikan dirinya membaca sebuah buku baru pada setiap minggu supaya beliau dapat mempersiapkan dirinya dengan ilmu-ilmu yang baharu di mana ilmu yang diperolehi dapat digunakan untuk kehidupan sehariannya. Selain daripada memperoleh ilmu pengetahuan, alasan lain bagi Mark Zuckerberg untuk memastikan dirinya membaca buku adalah disebabkan beliau ingin mendalami dirinya sendiri menerusi pembacaannya, di sini kita dapat lihat bahawa dengan membaca kita mempertingkatkan kualiti diri dan juga dapat menambah ilmu pengetahuan yang akhirnya dapat memajukan diri kita pada masa hadapan.
Sikap kedua yang diamalkan oleh Mark Zuckerberg adalah keluar daripada zon selesa, antara saat Mark Zuckerberg keluar daripada zon selesanya adalah pada ketika dia bertutur dalam bahasa mandarin kepada pelajar di China. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa jika kita benar-benar mahu meningkatkan kebolehan diri, maka kita haruslah berani menghadapi sebarang risiko terhadap keputusan yang telah dibuat. Keputusan yang dibuat tidak menentukan sama ada tindakan yang dilakukan betul ataupun salah, akan tetapi kita akan belajar sesuatu daripada tindakan yang dilakukan dan seterusnya menjadikan diri kita lebih kuat di masa hadapan.
Sikap ketiga adalah sentiasa mempelajari ilmu baharu, seperti Mark Zuckerberg walaupun beliau sudah menempa nama dengan kejayaannya dalam mencipta aplikasi Facebook, tetapi beliau masih lagi mempelajari ilmu baharu iaitu dengan mempelajari bahasa mandarin. Dengan kefasihan Mark Zuckerberg bertutur dalam bahasa mandarin ia mampu untuk mempengaruhi komuniti di China untuk memperluaskan lagi pengaruhnya. Oleh sebab itu, jangan jadikan ia sebagai alasan untuk kita mengatakan ilmu ini adalah suatu perkara yang membebankan kerana dengan ilmu ini ia mampu untuk memberi kesenangan kepada kita di masa hadapan. Jadi teruslah mengejar ilmu tidak kira dalam bidang apa sekalipun yang penting ia adalah suatu perkara yang boleh membawa pada manfaat.
Sikap Keempat adalah sentiasa memberi semula kepada masyarakat atau erti kata lain membantu masyarakat yang memerlukan. Jika kita mengambil contoh Mark Zuckerberg, membantu masyarakat bukanlah suatu perkara yang susah bagi beliau kerana seperti yang kita sedia maklum Mark Zuckerberg merupakan seorang billionaire di mana nilai bersih syarikatnya sahaja sudah mencecah 116.1 Billion USD. Terkini Mark Zuckerberg telah bekerjasama dengan isterinya iaitu Dr. Priscilla Chan dalam penubuhan “The Chan Zuckerberg Initiative”, organisasi ini bertujuan untuk mewujudkan pembaharuan pendidikan, kemajuan bioperubatan, pembaharuan imigresen dan kemampuan perumahan. Di samping itu, ia memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem pendidikan, pembangunan global, kesihatan dan dasar sistem keadilan jenayah. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kekayaan yang dimiliki seseorang individu itu bukanlah untuk kegunaan dirinya sahaja bahkan rezeki itu sepatutnya dikongsi bersama.
Kesimpulannya, setiap individu pasti ada sikap yang tersendiri dan sikap seseorang pasti terpecah kepada sikap baik dan juga sikap buruk, tetapi kita sebagai manusia seharusnya bijak untuk membuat pilihan di mana sikap yang baik perlulah dicontohi dan diteladani supaya perkara yang baik dapat kita kongsi bersama dan mendapat manfaat daripada sifat ini.
Comments
Post a Comment