Refleksi : Rahsia Mark Zuckerberg Dalam Mengendalikan Pasukannya

 Badrul Alif Naqiuddin Bin Badrulzaman (A180042)


Sumber : https://www.entrepreneur.com/article/225369


Bekerja di dalam organisasi bukanlah satu perkara yang mudah, hal ini kerana terdapat banyak aspek yang perlu dipertimbangkan untuk menjamin kualiti terbaik yang dapat dihasilkan daripada setiap individu yang bekerja di dalam suatu syarikat. Dalam perkara ini ketua memainkan peranan yang amat penting, selain bergelar pemimpin bagi sesuatu syarikat mereka ini juga perlu memikirkan cara tentang kaedah yang terbaik untuk memastikan setiap pekerjanya seronok untuk meneruskan pekerjaan mereka.


Di dalam ulasan kali ini kita akan membicarakan tentang seorang individu yang bernama Mark Zuckerberg atau lebih dikenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Meta Platform Inc. tentang pendekatan yang dilakukan oleh beliau dalam mengendalikan pasukannya sehingga mampu untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini. 


Pendekatan yang pertama adalah daripada permulaan iaitu kaedah dalam merekrut pekerjanya, Mark sudah mula merancang untuk mendapatkan kualiti yang terbaik daripada ahlinya bermula daripada saat pertama beliau ingin memilih ahli untuk diambil bekerja di dalam syarikatnya. Beliau akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan prospek pekerjanya walaupun pada peringkat awal individu tersebut menolak tawarannya, disebabkan kredibiliti yang dapat dilihat oleh beliau terhadap individu tersebut Mark menggunakan pendekatan yang diguna pakai oleh idolanya iaitu Steve Jobs dengan cara membawa prospek pekerjanya berjalan jauh menaiki gunung. Dalam perjalanannya itu beliau akan menceritakan matlamat dan misi yang ingin dicapai oleh syarikat sehingga ia dapat meyakinkan individu tersebut dan akhirnya individu tersebut berubah fikiran dan menerima tawaran yang sebelumnya ini ditolak.



Pendekatan yang kedua adalah beliau amat menitikberatkan kebajikan bagi setiap pekerjanya. Terdapat banyak perkara yang telah dilakukan oleh Mark untuk menjamin keselesaan pekerjanya diantaranya adalah di pejabat setiap pekerja akan menerima makanan percuma, klinik kesihatan juga disediakan, pekerja boleh membawa basikal di dalam kampus, insuran kehidupan ditanggung dan banyak lagi. Ini menunjukkan bahawa jika kita sebagai ketua mampu untuk menjaga kebajikan setiap pekerja di dalam sesuatu syarikat, maka pekerja akan merasakan diri mereka dihargai dan mereka akan terus memberikan prestasi yang terbaik untuk ketuanya. 



Pendekatan yang terakhir adalah beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang ketua dan layanan yang diberikan oleh setiap pekerjanya adalah sama kerana seseorang individu itu akan dikenali dan dihormati berdasarkan sumbangan dalam mempertingkatkan lagi kualiti produk syarikat. Selain itu, beliau juga tidak pernah mengehadkan pekerjanya untuk menyumbang kepada syarikat kerana pada pandangan beliau adalah kerja atau idea yang baik tercetus daripada apa yang kita minati. Oleh yang demikian, di Facebook setiap pekerjanya bebas melontar idea asalkan idea yang diberikan mampu dijadikan produk syarikat yang boleh memajukan lagi syarikat pada masa hadapan.


Kesimpulannya, dalam kita mengendalikan syarikat berpandukan misi dan visi seseorang ketua kita juga perlu mempertimbangkan kebajikan dan keselesaan pekerja kerana kita sebagai ketua tidak mampu untuk melakukan semua perkara seorang diri dan dengan adanya bantuan para pekerja maka lebih mudah untuk kita membahagikan tugas-tugas yang diperlukan. Oleh itu, berilah layanan yang baik kepada setiap insan yang membantu kita supaya kebaikan itu berbalik kepada diri kita semula.


Comments