Refleksi Prinsip Gaya Kepimpinan Mark Zuckerberg

 Ainur Aisyah Binti Norharidan (A179526)

https://futureofworking.com/5-mark-zuckerberg-leadership-style-principles/

Pengasas Facebook yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita hari ini, Mark Zuckerberg atau nama asalnya adalah Mark Elliot Zuckerberg merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook. Beliau tampil menjadi pengasas laman web rangkaian sosial Facebook selepas mengambil keputusan meninggalkan pengajian tingginya di Universiti Harvard. Dalam menuju ke puncak kejayaan, beliau mengharungi onak dan duri dalam kehidupannya, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk memperbaiki diri dan menjadi orang yang berjaya pada hari ini. Ekoran daripada itu, kejayaan Mark Zuckerberg telah meluaskan horizan pemikiran komuniti untuk berani menempuhi segala rintangan dalam menuju kejayaan.

             Mark mengongsikan prinsip dan teras dalam membina dan mengembangkan perniagaan yang kukuh dan stabil. Pertama, menanamkan semangat terhadap sesuatu yang kita ingin laksanakan. Kunci kejayaan bagi setiap usahawan yang berjaya adalah mereka kekal bersemangat mencapai impian. Mereka bekerja keras dan sanggup menempuh cabaran dalam mengejar kejayaan. Semangat adalah wadah utama yang membuatkan anda terus maju dan tidak berputus asa untuk kekal menjadi insan yang proaktif.

Prinsip yang kedua ialah mempunyai tujuan untuk apa yang hendak dilakukan. Setiap individu perlu mempersoalkan diri iaitu mengapa perlukan lakukan dan apakah matlamatnya? Sekiranya, persoalan ini tidak dapat mendapat jawapannya. Maka ia sukar untuk mencipta hala tujuan dan kosisten dalam kejayaan. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah melihat dari sudut perkembangan syarikat Facebook. Pengoperasian budaya syarikat Facebook dan produk mereka ini berakar umbi dalam merevolusikan kaedah menyebarkan dan menggunakan maklumat. Mereka amat menitikberatkan setiap langkah dan tidak hanya fokus pada produk. Izharnya, tujuan menjadi teras dan tunjang kepada segala perbuatan yang ingin dilaksanakan.

Dalam pada itu, prinsip yang ketiga dalam mengembangkan perniagaan yang konsisten adalah sentiasa komited dengan produk anda. Sebagaimana perkongsian awal Mark Zuckerberg, dimana ramai kalangan masyarakat tidak menyukai Newsfeed apabila ia mula-mula dilancarkan. Namun, Mark tidak menjadikan perkara ini menjadi asbab kegagalan beliau untuk mengembangkan perniagaannya. Sebaliknya, beliau mencari insiatif lain untuk diadaptasikan yang lebih sesuai. Mark memilih jalan pendekatan “The Hacker Way” bagi melakukan penambahbaikan bagi membaiki kesilapannya dalam merealisasikan impiannya meluaskan syarikat Facebook. Tegasnya, budaya inovasi dan dedikasi yang digunakan oleh Mark Zuckerberg sepatutnya menjadi budaya dalam kalangan usahawan supaya sentiasa mengaplikasikan prinsip ini dalam apa jua keadaan.

Prinsip yang selanjutnya ialah melaksanakan kerjasama dengan orang yang tepat. Mark Zuckerberg memegang prinsip mempunyai hala tuju yang jelas mengenai perkara yang ingin dilaksanakan serta mempunyai membawa orang-orang yang berkaliber yang boleh memasarkan produk dapat meransangkan perkembangan syarikat dengan lebih giat. Anda perlu memastikan anda mempunyai individu yang boleh berkongsi visi dan misi yang sama. Seperti kita sedia maklum, syarikat Facebook terkenal dengan menggunakan prosedur temu duga yang mana mereka boleh menilai sama ada pemohon tersebut ini boleh menyesuaikan diri dengan budaya syarikat tersebut. Dalam konteks, ia menunjukkan mereka amat menitikberatkan sikap berbanding kemahiran yang sedia ada, kerana kemahiran boleh dipelajari namun tidak pada minat.

Prinsip yang terakhir ialah membina perkongsian atau “partnership” dengan individu yang tepat. Perniagaan yang berjaya tidak boleh dijalankan tanpa bantuan orang lain. Malahan, Zuckerberg sendiri memerlukan rakan kongsi bagi mengukuhkan lagi pertumbuhan dan kejayaan syarikat Facebooknya. Sebagai analoginya, Mark Zuckerberg memberikan bayang terhadap Facebook, maka Sheryl selaku Ketua pegawai operasi media sosial akan melaksanakan visinya.

Konklusinya, prinsip-prinsip yang terdapat di atas adalah aset penting dalam melahirkan usahawan yang berjaya dan konsisten pada era moden ini. Prinsip yang dikongsikan beliau kepada bakal usahawan yang lain merupakan nasihat yang amat berguna dan mudah diaplikasi dalam kehidupan seharian. Individu perlu melakukan mengorak langkah sederap dalam merealisasikan visi dan misi aspirasi. Segala prinsip telah yang diperhalusi di atas itu seharusnya dilaksanakan dengan segera tanpa banyak alasan lagi. Anda harus peka dalam dunia yang dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi agar kekal konsisten dan maju dalam membina perniagaan yang maju.

 


Comments