Refleksi Mengenai 11 Rahsia Kejayaan Mark Zuckerberg

 

Refleksi Mengenai 11 Rahsia Kejayaan Mark Zuckerberg

Disediakan oleh : Atirahnatasya binti Azman (A180089)

Sumber:https://www.profitableventure.com/success-secrets-mark-zuckerberg/#:~:text=Mark%20Zuckerberg%20was%20a%20programming%20enthusiast%20from%20childhood,just%20to%20make%20sure%20his%20passion%20never%20dies





Mark Elliot Zuckerberg atau lebih dikenali sebagai Mark Zuckerberg adalah susuk  yang tidak asing lagi dalam bidang komunikasi ini. Pengasas facebook yang mencapai kejayaan pada usia yang sangat muda. Facebook telah ditubuhkan pada tahun 2004 semasa beliau berumur 20 tahun. Apakah rahsia beliau sehingga membuatkan nama Mark Zuckerberg menjadi buah mulut masyarakat sehingga kini? Bagaimanakah dia dapat pergi sejauh ini?

 

            Terdapat 11 rahsia Mark Zuckerberg yang kita dapat contohi untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang ingin kita capai. Rahsia yang pertama adalah setiap individu hendaklah mempunyai impian. Setiap orang pasti ada sesuatu yang diimpikan sehingga membuatkan kita bersemangat untuk mencapai impian tersebut. Seperti Mark Zuckerberg , berawalan dengan impian untuk membantu orang ramai berkomunikasi walau dimana mereka berada membawa diri beliau hingga mencapai kedudukannya yang sekarang. Seterusnya, berfikir dengan besar terhadap impian yang ingin dicapai. Pada awalnya , rakan-rakan Mark Zuckerberg hanya menganggap bahawa facebook hanyalah suatu projek sekolah sahaja , namun tidak bagi Zuckerberg kerana dia berfikiran luas bahawa facebook ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh dunia untuk berkomunikasi dan terus berhubung. Hal tersebut dibuktikan oleh beliau sehinga kini.

 

            Dalam pada beliau berfikiran luas dan terbuka , beliau tidak terus mengambil langkah besar untuk mencapai kejayaan, tetapi mengambil langkah yang kecil dahulu dengan bermula dari asrama dengan modal yang sedikit. Hasil kesabaran beliau bersama rakan-rakanya, Mark Zuckerberg kini berjaya dengan cemerlangnya dengan penghasilan luar biasa. Apabila Zuckerberg bersama rakannya yang lain telah menubuhkan facebook banyak perkara yang datang dan menguji mereka dari pelbagai faktor. Banyak syarikat-syarikat besar yang ingin membeli facebook pada awal kerjayanya , namun Zuckerberg memepercayai bahawa diri belşau bersama rakan-rakannya dapat mengembangkan facebook dengan lebih meluas lagi.

 

            Mark Zuckerberg amat meminati bidang pengaturcaraan dari kecil lagi. Maka dari itu, beliau telah memegang minat tersebut untuk menjadikan ia sebagai kerjaya beliau yang mana dapat memberi manfaat bukan sahaja pada diri beliau malah untuk orang ramai. Minat yang terlalu mendalam membuatkan beliau berhenti belajar dan hanya ingin meneruskan perusahaan yang telah dibina. Keazaman yang berterusan adalah salah satu kunci bagi mencapai kejayaan. Dalam pada beliau menikmati kejayaan beliau , banyak kritikan yang beliau terima berkaitan pelbagai perkara. Namun, Mark Zuckerberg tidak mengambil hati malah menerima kritikan-kritikan tersebut sebagai batu loncatan untuk ke tahap yang lebih tinggi.


            Kejayaan yang dicapai oleh Mark Zuckerberg bukanlah hasil dari beliau duduk dan bergoyang kaki sahaja. Sifat kerajinan yang ada dalam diri beliau membantu beliau terus bangkit untuk mempromosikan facebook supaya dikenali di seluruh dunia. Beliau membuat banyak iklan yang memerlukan kerahan tenaga yang banyak dan rehat yang sedikit. Walaubagaimanapun, itulah usaha yang perlu dilakukan oleh orang yang ingin berjaya kerana kejayaan tidak akan hadir jika kita bermalasan dan tidak berusaha. Secara lazimnya, jika seseorang menceburi sesuatu bidang perusahaan pasti akan ada pesaing. Besar atau kecil persaingan tersebut , kita tidak harus takut dan gentar untuk menghadapinya. Kadangkala tanpa kita sedari kejayaan yang dicari berada di sebelah pesaing tersebut yang mana kita perlu berani untuk mengambilnya. Siapakah pesaing terbesar buat facebook? Pada ketika itu Google  menjadi pesaing terbesar bagi Mark Zuckerberg tetapi beliau tidak mengundurkan diri kerana beliau hanya fokus pada misi yang beliau bawa dari awal pembukaan perusahaan beliau. Selain daipada berani bersaing , beliau juga mengekalkan fokus beliau iaitu mewujudkan dunia yang luas tanpa sempadan seperti yang kita lalui sekarang .

 

            Bagi mencapai kejayaan , Mark Zuckerberg tidak berhenti disitu. Seperti yang kita sedia maklum , walau apa jua yang  kita lakukan pasti akan ada risiko. Mark Zuckerberg mengambil risiko untuk berhenti belajar daripada kolej demi membangunkan facebook. Dengan keberanian beliau mengambil berbagai risiko ,beliau tetap teguh berdiri walau banyak halangan yang menimpa. Beliau tidak membangunkan facebook dalam masa satu malam . Beliau tidak menjadi seorang jutawan hanya dengan satu usaha, tetapi beliau percaya dengan proses yang berterusan. Sehingga kini beliau masih menambahbaik dan memperbaiki facebook supaya sejajar dengan kemajuan teknologi yang kian membangun.


 

                Dapat kita lihat bahawa rahsia kejayaan Mark Zuckerberg ibarat tangga. Kita hendaklah menaiki anak tangga satu demi satu bagi mencapai kejayaan yang sebenarnya.  Jika melangkaui satu anak tangga , kemungkinan kita akan jatuh tersungkur dan perlu mengulangi langkah tersebut. Janganlah kita membuang waktu kerana waktu itu ibarat emas.


Comments