REFLEKSI: Bual Bicara Bersama Mark Zuckerberg Mengenai Syarikat Facebook
Nurul Husna Binti Fuad (A180190)
https://www.youtube.com/watch?v=Lb4IcGF5iTQ
Rancangan bual bicara “Bagaimana Ingin Membina Masa Hadapan” telah menjemput Mark Zuckerberg sebagai tetamu untuk berkongsi mengenai kejayaan yang telah beliau capai. Mark Zuckerberg merupakan pengasas utama salah satu syarikat yang paling berpengaruh di dunia iaitu Facebook atau dikenali sebagai Meta. Bagi mendapatkan apa yang beliau miliki sekarang bukan suatu perkara yang mudah. Pada kali ini, artikel ulasan akan menceritakan bagaimana Mark Zuckerberg membina syarikat Facebook.
Pada permulaannya, Mark Zuckerberg dan rakannnya telah membina Facebook versi pertama untuk digunakan di Harvard dan setelah beberapa minggu dilancarkan, terdapat dua pertiga daripada para pelajar di Harvard menyukai dan mempunyai minat untuk menggunakan Facebook. Terdapat juga pelajar-pelajar daripada universiti lain yang bertanyakan kepada mereka sekiranya beliau dan rakannya boleh membuka Facebook di kawasan universiti mereka. Oleh kerana itu, mereka sekadar mengikuti kehendak pelanggan sehinggalah mereka dapat mengembangkan Facebook kepada ramai orang. Mereka juga telah mengambil beberapa pekerja lain dan akhirnya mengubah menjadi sebuah syarikat dengan misi untuk menghubungkan dunia ini. Perkara ini menunjukkan bahawa permulaan Mark Zuckerberg membina Facebook bukan untuk membina sebuah syarikat tetapi untuk membantu dirinya dan para pelajar dalam berhubung dengan semua orang.
Mark Zuckerberg juga telah memberikan pendapat bahawa sekiranya seseorang itu ingin memulakan suatu projek, mereka perlu bermula dengan masalah yang mereka perlu selesaikan dan bukan bermula dengan memutuskan untuk membina sebuah syarikat. Hal ini kerana mereka perlu memastikan bahawa projek yang mereka laksanakan dapat menarik perhatian orang ramai dan dapat membantu orang agar projek tersebut dapat bertahan dengan lebih lama. Apabila projek yang dilaksanakan telah mendapat kepercayaan daripada pengguna, mereka boleh mengembangkan projek tersebut sehinggalah akhirnya mereka dapat membina sebuah syarikat. Pembinaan sebuah syarikat bukan suatu perkara yang mudah kerana mereka perlu mendapatkan kepercayaan daripada para pelabur yang akan membuat pelaburan di syarikat mereka. Mark Zuckerberg juga memberitahu bahawa mereka yang berpengalaman juga sememangnya mempunyai banyak perkara yang sukar yang perlu mereka lalui untuk membina sebuah syarikat. Oleh kerana itu, apabila kita telah menyelesaikan pelbagai masalah sebelum mengambil keputusan untuk membina sebuah syarikat, kita semestinya sudah bersiap sedia dengan segala masalah yang akan timbul apabila syarikat itu dibina.
Selain itu, ramai yang berpendapat bahawa Mark Zuckerberg berjaya membina sesuatu yang berlainan di mana mereka boleh membuat inovasi dari semasa ke semasa terhadap Facebook. Mark Zuckerberg berpendapat bahawa kunci utama untuk membina sebuah syarikat seperti Facebook adalah dengan memberikan fokus kepada proses pembelajaran secepat yang boleh. Syarikat merupakan tempat di mana kita perlu membuat sesuatu keputusan dengan cepat dan bukan perlahan. Oleh kerana itu Mark Zuckerberg merasakan bahawa kejayaan sesebuah syarikat bergantung kepada cara pekerja dan majikan itu mengendalikan syarikat tersebut. Syarikat beliau mempunyai pelbagai pekerja yang mempunyai pelbagai kepakaran. Mereka akan membuat berpuluh-puluh ribu eksperimen yang berbeza agar dapat mengenal pasti perkara yang perlu dilakukan untuk mewujudkan suatu kelainan dalam Facebook. Setelah itu, Mark Zuckerberg akan meluluskan perkara yang boleh ditambah baik dalam Facebook secepat yang boleh. Hal ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai proses pembelajaran yang sangat cepat dan tidak hairan Facebook boleh membuat lebih kemajuan daripada syarikat-syarikat yang lain.
Berdasarkan ulasan di atas, ini menunjukkan bahawa pemilihan pekerja juga penting dalam pembinaan sesebuah syarikat. Apabila ditanya mengenai bagaimana kriteria-kriteria yang diinginkan oleh Mark Zuckerberg dalam pemilihan pekerja, beliau menjawab bahawa beliau melihat bakat yang ada pada seseorang itu. Walaupun seseorang itu baru sahaja bergraduasi dari universiti, tetapi sekiranya beliau melihat dia mempunyai bakat, maka beliau akan mengambilnya sebagai pekerja. Beliau tidak melihat kepada pengalaman seseorang itu sebagai kriteria utama dalam pemilihan pekerja kerana beliau sendiri mewujudkan Facebook ketika berumur 19 tahun di mana beliau juga pada ketika itu tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam menjalankan perniagaan. Beliau juga yakin bahawa seseorang yang mempunyai pengalaman dalam suatu pekerjaan yang spesifik tidak semestinya dapat memberikan yang terbaik semasa bekerja. Antara salah satu perkara yang beliau rasakan pasukannnya telah buat yang terbaik adalah dengan memberikan peluang kepada semua orang dalam syarikat itu. Pandangan Mark Zuckerberg ini seharusnya dipraktikkan oleh semua majikan kerana pengalaman seseorang itu tidak akan dapat dibina sekiranya dia tidak diberi peluang pada awal pekerjaannya.
Kesimpulannya, untuk membina sesebuah syarikat dan mengekalkannya bukan suatu perkara yang mudah. Pelbagai masalah pasti akan timbul dan sekiranya pengurusan syarikat tersebut tidak mengambil sebarang tindakan atau membuat perubahan, maka syarikat tersebut akan mengalami kegagalan. Mark Zuckerberg pernah memberitahu “risiko terbesar yang anda boleh ambil ialah tidak mengambil sebarang risiko”. Apabila kita ingin membuat sesuatu perubahan, akan ada yang menunjukkan kelemahan terhadap perubahan tersebut, tetapi kita perlu mengetahui bahawa setiap keputusan pasti ada kebaikan dan keburukan. Oleh hal yang demikian, membuat sesuatu perubahan adalah risiko yang perlu kita ambil agar dapat menghasilkan sesuatu yang berlainan daripada orang lain.
Comments
Post a Comment