REFLEKSI: Bersikap Optimis Rahsia Kejayaan Mark Zuckerberg

 Nurul Husna Binti Fuad

https://www.cnbc.com/2017/11/30/why-facebook-ceo-mark-zuckerberg-thinks-the-optimists-are-successful.html

        Mark Zuckerberg merupakan antara 10 jutawan terkaya di dunia. Beliau telah menubuhkan sebuah platform yang sangat terkenal dan berguna kepada semua orang iaitu Facebook. Kejayaan besar yang telah beliau capai sudah semestinya membuatkan ramai usahawan lain ingin mengetahui rahsia di sebalik semua ini. Oleh hal yang demikian, artikel ulasan pada kali ini akan membincangkan mengenai salah satu rahsia kejayaan Mark Zuckerberg iaitu bersikap optimis.

        Bertempatkan di New York, Mark Zuckerberg telah memberikan ucapannya semasa Facebook Social Good Forum dan beliau telah menyatakan bahawa terdapat dua jenis manusia di dunia iaitu optimis dan pesimis di mana optimis lebih cenderung untuk berjaya manakala pesimis lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang sentiasa betul. Optimis mengikut Kamus Dewan Bahasa ialah seseorang yang selalu menaruh harapan yang baik terhadap sesuatu manakala pesimis ialah seseorang yang mudah berputus harap dan lebih cenderung untuk melihat kepada keburukan sesuatu.



        Pada pandangan Mark Zuckerberg, seseorang yang pesimis adalah apabila dia sentiasa memikirkan sesuatu yang negatif atau buruk terhadap sesuatu perkara dan itu boleh menjadi sebuah kegagalan kepada dirinya, maka dia akan mencari jalan untuk membuktikan bahawa perspektifnya itu betul. Penyataan Mark Zuckerberg ini menjelaskan bahawa seseorang yang pesimis akan sentiasa membuat  sesuatu perkara itu sambil lewa kerana dia terlalu yakin bahawa dirinya akan gagal. Manakala bagi seseorang yang optimis, sekiranya dia berfikir dan yakin bahawa dirinya boleh dan tiada yang mustahil untuk berjaya, maka dia akan berusaha sedaya upaya untuk menjadikannya sebuah realiti dalam hidupnya. Walau terdapat pelbagai halangan dan rintangan serta sentiasa diragui oleh kebanyakan orang, seseorang yang optimis akan terus mendesak dirinya sehingga dia mencapai apa yang dikehendakinya. Oleh kerana itu, seseorang yang optimis akan mencapai kejayaan dengan segala usaha yang dilakukan sedangkan seseorang yang pesimis akan sentiasa menemui kegagalan dalam kehidupannya.



        Selain itu, sebagai seorang yang optimis, Mark Zuckerberg juga menyatakan bahawa beliau sebenarnya lebih bermotivasi untuk memastikan bahawa mereka dapat memberikan impak yang positif dan besar kepada dunia berbanding sekadar menjalankan sebuah perniagaan dan memastikan bahawa mereka tidak gagal. Hal ini menyebabkan perkara yang paling ditakutkan oleh Mark Zuckerberg adalah tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk mencapai apa yang dikehendaki berbanding merisaukan akan kegagalan syarikatnya. Sikap Mark Zuckerberg ini telah mendorong dirinya untuk sentiasa berfikir dan berusaha keras bagi menambah baik segala perkara yang telah beliau bina. Usaha beliau bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negaranya, tetapi beliau juga dapat membantu semua orang untuk berhubung dengan sesiapa sahaja di dunia ini tanpa sebarang batasan.



             Mark Zuckerberg pernah menunjukkan bahawa dirinya merupakan seorang yang sangat optimis dalam perdebatannya bersama Elon Musk mengenai impak yang berpotensi dalam teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI). Sewaktu perdebatan, Elon Musk telah menekankan bahawa AI sangat berbahaya dan perlu dikawal penggunaannya kerana AI dapat memberi risiko kepada kewujudan tamadun manusia. Walaubagaimanapun, Mark Zuckerberg yang menyatakan dirinya merupakan seorang yang optimistik yakin bahawa dalam jangka masa 5 ke 10 tahun akan datang, AI dapat membantu meningkatkan kualiti hidup semua orang. Perdebatan ini dapat menunjukkan bahawa jika kita melihat ke arah yang positif, maka hasilnya akan menjadi sesuatu yang positif dan dapat membantu orang ramai.

         Kesimpulannya, setiap perkara yang kita lakukan sudah semestinya mempunyai kesan yang negatif dan positif. Walaubagaimanapun, kita perlulah memfokuskan diri kita untuk menjadi seorang yang optimis dan sentiasa ke arah yang positif agar kita mempunyai semangat untuk meneruskan sesuatu perkara itu sehinggalah kita dapat mencapai apa yang kita kehendaki dalam hidup. Dalam masa yang sama, kesan yang negatif pula boleh kita baiki dan ambil pengajaran agar perkara sebegitu tidak berlaku lagi.

Comments