REFLEKSI : PRINSIP HIDUP MARK ZUCKERBERG SEBAGAI USAHAWAN MUDA YANG BERJAYA
REFLEKSI
BERKENAAN PRINSIP HIDUP MARK ZUCKERBERG SEBAGAI USAHAWAN MUDA YANG BERJAYA
NURUL
IZZATI BINTI DZULKIFLI (A180117)
https://internasional.kontan.co.id/news/5-prinsip-utama-yang-membuat-mark-zuckerberg-sukses-apa-saja
Mark
Zuckerberg adalah salah seorang CEO yang paling dikenali di dunia, dan apa yang
telah dicapainya pada usia 32 tahun cukup mengejutkan. Sehubungan itu, baru-baru
ini telah digemparkan bahawa Mark Zuckerberg telah menukar nama syarikat yang
diasaskannya iaitu Facebook kepada Meta dan memperkenalkan dunia realiti maya
yang dipanggil "metaverse," yang disifatkannya sebagai "The next
chapter for the internet.". Kejayaan yang dicapai pada usia yang muda adalah
satu pencapaian yang sukar dicapai untuk individu yang tiada hala tuju. Justeru
itu, saya akan memberikan ulasan berkenaan prinsip hidup Mark Zuckerberg yang telah
menjadikannya sebagai usahawan muda pada hari ini.
Prinsip hidup beliau yang pertama ialah mempunyai visi dan misi
yang jelas. Hal ini dimana Zuckerberg mengatakan bahawa mempunyai misi dan visi
yang jelas sangat mempengaruhi perniagaannya. Justeru itu, ianya adalah salah
satu faktor kejayaan Facebook yang menghasilkan banyak wang dan ramai pengguna.
Apabila beliau mengasaskan Facebook, beliau mempunyai misi sosial untuk
menjadikan dunia lebih terbuka dan berhubung dimana pengguna dapat melayari
laman sosial yang menghubungkan satu dunia walau dimanapun mereka berada. Dengan
tumpuan untuk membangunkan misi dan perkhidmatannya, Zuckerberg percaya
perniagaannya akan terus mendapat perhatian orang ramai. Maka jelaslah, untuk
menjadikan impian kita tercapai, kita mestilah mempunyai misi yang jelas untuk
meraih kejayaan.
Selain itu, mengambil setiap peluang dan kesempatan yang ada merupakan
prinsip hidup Zuckerberg yang kedua. Pengasas Facebook ini sentiasa mengambil
peluang yang ada di hadapannya seolah-olah tidak takut dengan kegagalan. Justeru
itu, Mark Zuckerberg memilih untuk melakukan banyak eksperimen semasa menerajui
Facebook. Baginya, kegagalan yang telah beliau lalui sepanjang menjayakan
Facebook bukan bermakna beliau tidak boleh berjaya. Daripada kegagalan ini yang
menjadikan banyak pengajaran yang boleh diambil dan dijadikan sebagai satu
cabaran yang perlu dilalui. Melalui penilaian dan penelitian daripada kegagalan
yang berlaku, kita boleh lebih bersedia jika terpaksa mengalami masalah yang
sama pada waktu yang akan datang. Oleh itu,kita tidak seharusnya mengabaikan sekiranya
terdapat peluang dan kesempatan di depan mata kerana ianya mungkin merupakan
peluang keemasan yang tidak ada duanya.
Prinsip hidup Mark Zuckerberg yang ketiga iaitu mempunyai rasa
ingin tahu yang kuat. Rasa ingin tahu tentang banyak perkara telah mendorong
Mark Zuckerberg untuk sentiasa belajar. Zuckerberg dikenali sebagai ulat buku oleh
kerana mempunyai hobi membaca buku. Buku-buku yang dibaca oleh beliau juga agak
berat dan sesuai untuk perbincangan. Selepas membaca buku, beliau akan
berbincang dengan komuniti di Facebook untuk bertukar-tukar fikiran dan
pendapat. Justeru itu, dengan membaca buku, kita akan mendapat banyak idea baru
daripada apa yang telah kita baca. Tambahan pula, terdapat beberapa selebriti
dunia seperti Warren Buffett dan Elon Musk juga mempunyai minat dalam membaca
buku. Oleh itu, kita sebagai seorang pelajar khususnya kadangkala mempunyai
rasa ingin tahu tentang sesuatu perkara dan akan mendorong kita dalam usaha untuk
mencari tahu melalui pembacaan dan penelitian.
Prinsip hidup Mark Zuckerberg yang seterusnya ialah mempunyai
pasukan yang kukuh dan mantap. Hal ini dimana apabila melantik pekerja,
Zuckerberg menjadi sangat selektif dan berhati-hati. Beliau tidak teragak-agak
untuk menyertai perlantikan pekerja secara terus jika dia benar-benar ingin
bekerja dengan pekerja itu. Sekiranya kita mempunyai pasukan yang baik, hasil
kerja kita akan berkembang menjadi lebih baik juga. Selain faktor pekerja yang
berkualiti, kita juga perlu mempunyai pandangan yang luas dan terbuka. Justeru
itu, Ketua pegawai operasi Facebook, Sheryl Sandberg, berkata Zuckerberg sangat
terbuka kepada kritikan. Hal ini demikian kerana daripada kritikan yang mereka
terima, beliau kemudiannya berbincang dengan Sandberg dan mencari penyelesaian
yang tepat untuk menyelesaikan kritikan tersebut. Maka, dalam situasi kita
sebagai seorang pelajar, misalnya berkenaan dalam tugasan berkumpulan mestilah
bijak dalam memilih ahli kumpulan untuk menghasilkan hasil kerja yang baik
malah saling bersikap terbuka untuk menjadikan hasil kerja lebih bermutu dan berkualiti.
Akhir sekali, prinsip hidup Mark Zuckerberg yang keenam iaitu bersederhana
dan dermawan. Facebook telah berkembang menjadi salah satu media sosial yang
paling banyak digunakan di dunia sehingga pada hari ini. Kejayaan yang dicapai
oleh Mark Zuckerberg, tidak menjadikannya sombong dan berlagak. Justeru itu, daripada
bersikap boros, Zuckerberg memilih untuk menjalani kehidupan yang sederhana. Dia
memilih untuk memandu Volkswagen berbanding kereta mewah lain. Penampilan beliau
juga sangat santai dimana tidak memakai pakaian yang berjenama. Tambahan pula, Mark
Zuckerberg sering dilihat memakai t-shirt kelabu dan seluar jeans. Meskipun Zuckerberg
adalah seorang bilionair beliau juga bahkan seorang dermawan. Zuckerberg dan
isterinya, Priscilla Chan telah menderma berbilion dolar kepada pelbagai badan
amal. Maka dapat kita lihat bahawa kekayaan yang dimiliki bukanlah seharusnya
menjadikan kita sombong kerana ianya merupakan pinjaman di dunia dan sebahagian
kekayaan yang dimilki juga merupakan hak milik orang lain seperti orang miskin
dan sebagainya.
Kesimpulannya, setiap individu yang berjaya mempunyai prinsip hidup masing-masing untuk mencapai matlamat dan hala tuju masing-masing. Oleh itu, prinsip hidup antara satu aspek dalam menentukan arah kehidupan seseorang individu tersebut sama ada menjadi seorang yang berjaya atau sebaliknya.
Comments
Post a Comment